Subscribe News Feed Subscribe Comments

STANDARD GURU MALAYSIA

Standard Guru Malaysia

Standard Guru Malaysia (SGM) menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru, dan
keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai
tahap kompetensi yang ditetapkan. Dokumen ini disediakan sebagai panduan dan rujukan kepada guru,
pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan dalam usaha untuk melahirkan dan melestarikan guru
berkualiti. Dokumen ini akan disemak semula secara berkala bagi tujuan penambahbaikan berterusan.

Latar Belakang

Malaysia memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan modal insan kelas pertama di mana bina upaya
adalah pendekatan utama ke arah mencapai status negara maju pada tahun 2020. Modal insan adalah harta
yang boleh disuntik nilai tambahnya, diinjakkan nilai inteleknya serta diperbanyakkan modal budayanya.

Pembangunan modal insan berkualiti bergantung kepada pendidikan berkualiti; yang dapat menghasilkan
individu yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan
berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju. Pendidikan juga perlu membentuk modal insan yang
mampu berfikiran kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang
baru, mempunyai daya tahan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang sering
berubah.

Dalam abad ke-21 ini, negara menghadapi cabaran baru kesan daripada globalisasi, liberalisasi,
pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Sehubungan dengan itu
Malaysia memerlukan modal insan yang juga celik TMK, progresif dan mampu bersaing di pasaran kerja
global.

Pembangunan sistem pendidikan bertaraf dunia mengikut acuan Malaysia adalah agenda utama Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Justeru itu, guru perlu memahami,
menunjukkan kesungguhan, dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam melaksanakan daya usaha dan
pendekatan baru ke arah usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan seperti petikan yang berikut:

”... as the most significant and costly resource in schools, teachers are central to school improvement efforts.
Improving the efficiency and equity of schooling depends, in large measure, on ensuring that competent people
want to work as teachers, that their teaching is of high quality, and that all students have access to high quality
teaching.”

(Organization for Economic Co-operation and Development; petikan daripada Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan KPM 2007; hal. 106 )

Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti
dan memastikan mereka yang berkualiti kekal dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di
sepanjang tempoh perkhidmatan. Antara langkah yang telah diusahakan termasuklah memantapkan latihan
perguruan, menambah baik sistem pemilihan calon guru, melonjakkan kecemerlangan institusi latihan
perguruan, dan menambah baik laluan kerjaya serta kebajikan guru.


Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan peneraju utama latihan
perguruan di Malaysia. BPG bersama-sama Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pendidikan Tinggi
Awam (IPTA) bertanggungjawab merancang dan melaksanakan latihan perguruan untuk memenuhi keperluan
tenaga pengajar di institusi pendidikan seluruh negara. Bagi menjamin guru yang dihasilkan berkualiti tinggi,
tiga aspek utama ditekankan iaitu amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta
kemahiran pengajaran dan pembelajaran.

Bahagian Pendidian Guru telah mengambil langkah proaktif dalam membangunkan standard guru sebagai
panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan di Malaysia.

Rasional

Standard Guru Malaysia ini digubal berdasarkan rasional yang berikut:
1.Guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta
kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru
profesional dengan berkesan,
2.Agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan keperluan yang jelas dan lengkap seperti dasar,
kurikulum, infrastruktur, tenaga pengajar, sumber pengajaran dan pembelajaran, serta jaminan kualiti untuk
membolehkan proses latihan dijalankan dengan lancar, berkesan dan bermutu tinggi,
3.KPM sedang berusaha untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan guru yang dapat dijadikan
showcase. Justeru itu, adalah wajar standard bagi institusi latihan perguruan diwujudkan, dan
4.Standard Guru Malaysia menggariskan kriteria dan standard am guru selaras dengan Malaysian
Qualifications Framework (MQF) yang menggariskan kriteria dan standard am pendidikan tinggi.

Tujuan

Standard Guru Malaysia digubal bagi tujuan yang berikut:


1.mengenal pasti tahap kompetensi profesional guru dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan,
pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran,
2.mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan oleh agensi dan institusi latihan
perguruan bagi menjamin tahap kompetensi guru yang ditetapkan tercapai.


3.Standard Guru Malaysia akan dapat mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang
patut ditambahbaik sejajar dengan perkembangan dan cabaran semasa dunia pendidikan.


Penggubalan

Penggubalan SGM adalah berasaskan kepada prinsip dan proses yang berikut:

1.Pernyataan Standard dan Keperluan jelas, tepat, relevan, praktikal, adil, dan realistik,
2.Standard dan Keperluan yang dicadangkan adalah berasaskan kajian serta penandaarasan, dan
3.Proses penggubalan dilaksanakan secara kolaboratif, telus, terbuka dan persetujuan bersama dengan pihakpihak
berkepentingan

Penggunaan

Standard Guru Malaysia adalah dokumen rujukan yang patut diguna pakai oleh pihak yang berikut:

Guru


1.Membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard.
2.Mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri.

Pendidik Guru di Institusi Latihan Perguruan

1.Membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard.
2.Mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri.
3.Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih (guru praperkhidmatan) atau peserta kursus
(guru dalam perkhidmatan).
4.Mengenal pasti strategi bagi membantu guru pelatih atau peserta kursus meningkatkan tahap pencapaian
standard.


Pengurus dan Pentadbir Institusi Latihan Perguruan

1.Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih dan peserta kursus.
2.Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan oleh institusi.
3.Mengenal pasti strategi bagi meningkatkan tahap pencapaian standard dan keperluan.

Guru Besar dan Pengetua Sekolah

1.Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru.
2.Menyediakan dan melaksanakan strategi bagi meningkatkan tahap pencapaian standard oleh guru.


Agensi Latihan Perguruan

1.Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih dan peserta kursus di institusi latihan
perguruan.
2.Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan oleh agensi dan institusi latihan perguruan.
3.Mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang boleh ditambahbaik.


Glosari

Berikut adalah penjelasan kepada istilah yang digunakan dalam dokumen Standard Guru Malaysia, Panduan
Standard Guru Malaysia dan Instrumen Standard Guru Malaysia:

1.Guru

Tiga kategori guru yang dimaksudkan ialah guru terlatih yang sedang mengajar di sekolah, guru terlatih yang
sedang mengikuti kursus dalam perkhidmatan di institusi latihan perguruan, dan guru pelatih yang sedang
mengikuti kursus praperkhidmatan di institusi latihan perguruan.

2.Institusi Pendidikan

Sekolah atau mana-mana tempat lain, di mana dalam menjalankan kerja sesuatu organisasi atau institusi,
individu lazimnya diajar, sama ada di dalam satu kelas atau lebih.

3.Standard

Pernyataan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru.

4.Keperluan

Pernyataan aspek latihan perguruan yang patut disediakan dan dilaksanakan oleh agensi dan institusi latihan
perguruan.

5.Bilik Darjah


Lokasi dan ruang di mana sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan, termasuk bilik kuliah, bengkel dan
makmal.

6.Kompetensi

Kemahiran profesional guru berdasarkan amalan nilai profesionalisme, pengetahuan dan kefahaman, dan
kemahiran pengajaran dan pembelajaran.

7.Institusi Latihan Perguruan

Organisasi yang bertanggungjawab mereka bentuk dan melaksanakan latihan perguruan termasuklah IPG dan
fakulti pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

8.Agensi Latihan Perguruan

Organisasi yang menggubal dasar dan memantau pelaksanaan latihan perguruan seperti Kementerian
Pengajian Tinggi dan BPG

9.Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM)

Institusi yang melaksanakan latihan perguruan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

10.Sekolah

Institusi pendidikan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah, sekolah teknik, sekolah pendidikan khas,
sekolah vokasional.

11.Murid

Pelajar sekolah yang menerima pengajaran dan pembelajaran daripada guru.

12.Program

Susunan kursus dan isi kandungan pembelajaran yang dirancang serta direka bentuk bagi suatu tempoh
tertentu untuk mencapai hasil pembelajaran seperti yang ditentukan dalam matlamat dan objektifnya. Program
yang dimaksudkan akan menjurus kepada penganugerahan sesuatu kelayakan.

13.Kursus

Unit asas pembelajaran yang membentuk sesuatu program, mempunyai hasil khusus, kandungan dan kaedah
pengajaran dan pembelajaran serta kaedah penilaian bagi menyokong pencapaian hasil pembelajaran.

14.Kurikulum

Skop dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di institusi latihan perguruan. Kurikulum merangkumi semua
pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan, dan kepercayaan untuk membantu perkembangan
seseorang pelajar dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan
mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.

15.Aktiviti Kokurikulum

Aktiviti persatuan atau kelab, sukan dan olahraga, serta unit beruniform yang wajib diikuti oleh semua guru
pelatih yang mengikuti latihan perguruan.

16.Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS)

Guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) ditempatkan di sekolah selama satu minggu
untuk memberi peluang kepada mereka memahami sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan dan peranan
guru di dalam bilik darjah melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru dan
komuniti sekolah.

17.Minggu Orientasi Sekolah (MOS)

Guru pelatih Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI SR) Jawi, Quran, bahasa Arab dan Fardu
Ain (j-QAF) ditempatkan di sekolah selama satu minggu untuk memberi peluang kepada mereka memahami


sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan dan peranan guru di dalam bilik darjah melalui pemerhatian,
penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru dan komuniti sekolah.

18.Praktikum

Semua guru pelatih yang mengikuti latihan perguruan di tempatkan di sekolah untuk pengalaman praktik di
dalam dan di luar bilik darjah. Praktikum menyediakan peluang kepada guru pelatih mempraktikkan teori dalam
amalan pengajaran dan pembelajaran serta menghasilkan teori pengajaran dan pembelajaran yang tersendiri.

19.Penilaian

Pengukuran berterusan yang dijalankan sepanjang tempoh kursus pengajian atau program latihan dan
termasuklah apa-apa peperiksaan bertulis yang membawa markah atau gred bagi sesuatu kursus atau
program latihan atau sebahagian daripadanya.

20.Pembangunan Profesionalisme Berterusan

Program latihan secara sistematik yang menjurus ke arah peningkatan profesionalisme dan pembangunan
kerjaya serta kecemerlangan perkhidmatan.

21.Hasil Pembelajaran

Penguasaan guru dalam amalan nilai profesionalisme keguruan, ilmu pengetahuan dan kefahaman serta
kemahiran pengajaran dan pembelajaran.

22.Pihak Berkepentingan

Pihak yang mempunyai kepentingan bersama secara langsung dalam konteks perkhidmatan pendidikan.
Contohnya sekolah, ibu bapa, penaja, ketua perkhidmatan.

23.Budaya IPG

Amalan kerja warga IPG bertujuan mewujudkan identiti institusi unggul yang melahirkan guru yang berpekerti
mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara, serta menyanjung warisan
kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu, dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu,
demokratik, progresif dan berdisiplin.

24.Infrastruktur

Kemudahan fizikal di institusi latihan perguruan bagi menyokong penterjemahan dan pelaksanaan kurikulum
serta kokurikulum yang berkesan, bermakna dan menyeronokkan.

25.Infostruktur

Pemilihan dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) secara berkesan, jaringan dalaman dan
luaran serta perkhidmatan pusat sumber.

26.Pengurusan Kualiti

Mekanisme dan kerangka kualiti semua proses aktiviti organisasi bagi menjamin kualiti produk dan
perkhidmatan yang ditawarkan.

27.Pendidik Guru

Merupakan individu yang bertauliah yang melatih guru di institusi latihan perguruan.

Kerangka SGM

Pengertian Standard Guru Malaysia

Standard Guru Malaysia ialah pernyataan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru (Standard) dan
pernyataan aspek yang patut disediakan serta dilaksanakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan
(Keperluan).


Asas Penentuan Standard Dan Keperluan

Perincian Standard dan Keperluan adalah berasaskan kepada aspek yang berikut:

Misi Nasional

Bagi mencapai prestasi yang tinggi dan impak maksimum daripada pembangunan nasional, Misi Nasional
telah menggariskan lima teras utama seperti yang berikut:


meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi,

meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara
serta memupuk minda kelas pertama,

menangani masalah ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang
berterusan secara membina dan produktif,

meningkatkan tahap dan kemampuan kualiti hidup, dan

mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah
bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

Falsafah Pendidikan Guru (FPG)

"Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta
menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat
yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin."

Tatasusila Profesion Keguruan

Bagi menjaga nama baik profesion keguruan serta meningkatkan lagi mutu profesion, semua guru di Malaysia
tertakluk kepada Tatasusila Profesion Keguruan yang disediakan dalam bentuk ikrar seperti berikut:
"Kami, guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan
warganegara yang berilmu, yang taat setia, yang bertanggungjawab dan berkebolehan, yang menyedari
betapa pentingnya usaha kami ke arah kebenaran dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang, dan yang
percaya akan demokrasi, kebebasan perseorangan dan prinsip-prinsip Rukunegara.
Melalui pendidikan, masyarakat dapat membantu anak mudanya memahami kebudayaan mereka,
memperoleh pengetahuan yang terkumpul sejak zaman berzaman dan menyediakan mereka untuk
menghadapi cabaran masa hadapan.
Dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak muda untuk mencapai kemajuan
sepenuhnya maka dengan ini kami menerima tatasusila berikut sebagai panduan untuk membolehkan kami
menyempurnakan profesion kami ke taraf kesusilaan yang setinggi-tingginya"; (i) tanggungjawab terhadap
pelajar, (ii) tanggungjawab terhadap ibu bapa (iii) tanggungjawab terhadap negara dan (iv) tanggungjawab
terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan.

Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia

Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia perlu dilaksanakan dan dihayati berdasarkan enam prinsip iaitu
niat yang betul, perlakuan yang baik, penggerak ke arah kebaikan, memperkotakan apa yang dikatakan,
berdisiplin dan beradab serta menghargai dan bertanggungjawab terhadap hasil usaha organisasi.


Standard Guru Malaysia juga digubal berdasarkan rujukan dan penandaarasan standard pendidikan di
Malaysia dan standard pendidikan guru di beberapa negara maju.
Standard Guru Malaysia mempunyai dua komponen utama yang saling berkait iaitu Standard (S) dan
Keperluan (K). Sila rujuk Rajah 1.



Komponen SGM


Rajah 1
Standard merangkumi tiga aspek berikut:
Standard 1: Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan


Standard ini memperincikan kompetensi amalan nilai profesionalisme keguruan berdasarkan domain diri,
profesion dan sosial, yang patut ada pada seseorang guru.

Standard 2: Pengetahuan dan Kefahaman

Standard ini memperincikan kompetensi ilmu pengetahuan dan kefahaman tentang subjek pengkhususan, ilmu
pendidikan, kurikulum dan kokurikulum yang patut ada pada seseorang guru.

Standard 3: Kemahiran Pembelajaran dan Pembelajaran

Standard ini memperincikan kompetensi kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang patut dikuasai oleh
seseorang guru.

KEPERLUAN

Bagi menyokong dan membantu guru mencapai tahap kompetensi amalan nilai profesionalisme keguruan,
pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang diharapkan, agensi dan
institusi latihan perguruan patut menyediakan dan melaksanakan keperluan yang berikut:

Keperluan 1: Kelayakan dan Prosedur Pengambilan Calon Program Latihan Perguruan

Keperluan ini memperincikan syarat dan kriteria serta prosedur pengambilan calon program latihan perguruan.

Keperluan 2: Latihan, Pentaksiran dan Penilaian

Keperluan ini memperincikan program latihan, sistem pemantauan, dan pentaksiran dan penilaian.

Keperluan 3: Kolaborasi


Keperluan ini memperincikan permuafakatan antara agensi dan institusi latihan perguruan dengan pihak
sekolah, institusi pendidikan tinggi tempatan dan luar negara, badan bukan kerajaan serta lain-lain institusi
yang boleh memantapkan lagi latihan perguruan.

Keperluan 4: Infrastruktur dan Infostruktur

Keperluan ini memperincikan prasarana pengajaran dan pembelajaran, informasi dan komunikasi bagi
mengoptimum kecekapan dan keberkesanan program latihan.

Keperluan 5: Jaminan Kualiti

Keperluan ini memperincikan semua aspek perancangan dan pelaksanaan dasar, strategi, prosedur serta
aktiviti bagi mewujudkan keyakinan bahawa kualiti latihan sentiasa terpelihara dan ditingkatkan secara
berterusan.

Perincian standard dan keperluan yang digariskan amat penting bagi menjamin program latihan yang
dilaksanakan akan menghasilkan guru yang kompeten, kreatif, inovatif, dan berketerampilan.

Model SGM

Model Standard Guru Malaysia
Guru (digambarkan oleh huruf G) yang dihasratkan oleh Malaysia mempunyai kompetensi yang tinggi dalam
aspek amalan nilai profesionalisme keguruan (Standard 1), pengetahuan dan kefahaman (Standard 2) serta
kemahiran pengajaran dan pembelajaran (Standard 3). Ketiga-tiga standard tersebut digambarkan oleh tiga
lingkaran kecil yang bertindan; membawa maksud ketiga-tiga aspek kompetensi yang dikuasai oleh guru
adalah saling berkait dan bersepadu.

Lingkaran besar putih yang melingkari Standard menggambarkan Keperluan utama yang patut disediakan oleh
agensi dan institusi latihan perguruan bagi menyokong dan membantu guru mencapai Standard. Keperluan
yang dimaksudkan ialah kelayakan masuk dan prosedur pengambilan calon program latihan perguruan
(Keperluan 1), latihan, pentaksiran dan penilaian program perguruan (Keperluan 2), kolaborasi (Keperluan 3),
infrastruktur dan infostruktur (Keperluan 4), dan jaminan kualiti (Keperluan 5).

Lingkaran besar yang memagari Keperluan menggambarkan asas penentuan Standard dan Keperluan iaitu
Misi Nasional, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Tatasusila Profesion Keguruan,
dan Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia,

Glob di tengah-tengah lingkaran Standard merujuk kepada kualiti guru bertaraf dunia yang dipertanggungjawab
membangunkan modal insan berminda kelas pertama, iaitu menguasai ilmu dan kemahiran tinggi, menjunjung
nilai budaya bangsa, memiliki semangat patriotisme yang utuh, mempunyai daya saing yang tinggi dan
berwibawa.

Perincian Standard

Standard 1: Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan

Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan digubal berlandaskan budaya Institut Pendidikan Guru (IPG),
Tatasusila Profesion Keguruan, nilai murni dalam kurikulum sekolah, nilai utama dalam Perkhidmatan Awam,
prinsip utama Etika Kerja KPM, dan Tonggak Dua Belas. Standard ini mempunyai tiga domain utama iaitu:


S1.1 Domain Diri

Domain ini merujuk kepada pegangan nilai diri guru yang sedia ada dan patut dikembangkan supaya guru
boleh memberi sumbangan yang lebih berkesan kepada profesion keguruan bagi mencapai matlamat sistem
pendidikan negara.

Nilai-nilai yang difokuskan dalam domain ini ialah kepercayaan kepada Tuhan, amanah, ikhlas, berilmu, kasih
sayang, sabar, budi bahasa, adil, bertimbang rasa, daya tahan, daya saing dan, tahan lasak, cergas, aktif dan
sihat, kemahiran interpersonal dan intrapersonal, semangat sukarela, dan efisien.

S1.2 Domain Profesion

Domain ini merujuk kepada pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus oleh guru dalam menjalankan
tugasnya sebagai seorang guru yang profesional. Nilai-nilai yang ditekankan dalam domain ini adalah
kecintaan terhadap profesion, berketerampilan, integriti, teladan, mengamalkan kerja sepasukan, proaktif,
kreatif dan inovatif.

S1.3 Domain Sosial

Guru berperanan sebagai agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat. Nilai-nilai utama yang
patut diamalkan oleh guru adalah keharmonian, kemahiran sosial, semangat bermasyarakat, patriotisme dan
kecintaan terhadap alam sekitar.

Standard 2: Pengetahuan dan Kefahaman

Guru yang memiliki dan menguasai ilmu yang mantap dapat meningkatkan profesionalisme keguruan,
melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan serta menjadi lebih kreatif dan inovatif.

Bidang pengetahuan yang patut dikuasai oleh guru adalah seperti yang berikut:

S2.1 Falsafah, matlamat, dan objektif pendidikan yang menjadi teras dalam pelaksanaan pengajaran dan
pembelajaran.

S2.2 Falsafah, matlamat, objektif kurikulum dan kokurikulum, hasil pembelajaran, dan keperluan pengajaran
dan pembelajaran bagi mata pelajaran yang diajarkan.

S2.3 Kandungan mata pelajaran yang diajarkan.

S2.4 Kandungan Ilmu Pendidikan

S2.5 Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), media dan sumber pendidikan dalam pelaksanaan kurikulum


dan kokurikulum.

S2.6 Strategi untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

S2.7 Kaedah pentaksiran dan penilaian, dan penyelidikan tindakan untuk menambahbaik amalan pengajaran
dan pembelajaran.

S2.8 Potensi murid dan cara mengembangkannya secara menyeluruh dan bersepadu.

Standard 3: Kemahiran Pengajaran dan Pembelajaran

Standard ini memfokuskan kebolehan guru untuk membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian
pengajaran dan pembelajaran akademik dan kokurikulum.

Kemahiran yang patut ada pada semua guru adalah seperti yang berikut:

S3.1 Kemahiran menyediakan perancangan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan Sukatan Pelajaran
dan takwim dengan mengambil kira perbezaan kebolehan, pengetahuan sedia ada, serta jangkaan pencapaian
murid.

S3.2 Kemahiran melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan pelbagai pendekatan,
kaedah dan teknik serta mengintegrasikan kemahiran berfikir, kemahiran belajar, kemahiran teknologi
maklumat dan komunikasi, kemahiran pemudah cara dan kemahiran mentaksir dan menilai.

S3.3 Kemahiran memantau, mentaksir dan menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bertujuan
memperbaik pengajaran guru dan meningkatkan pencapaian murid.

S3.4 Kemahiran mengurus bilik darjah; melibatkan pengurusan hubungan kemanusiaan, masa, ruang, dan
sumber untuk mencapai pembelajaran yang bermakna dan berkesan.

Perincian Keperluan

Agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan keperluan latihan dengan mengambil kira dasar
kerajaan, peruntukan kewangan, pekeliling am dan arahan pentadbiran, tuntutan serta perkembangan semasa.
Lima keperluan penting latihan perguruan telah dikenalpasti bagi memastikan guru mencapai tahap
kompetensi yang diharapkan iaitu:

Keperluan 1: Kelayakan Masuk dan Prosedur Kemasukan Program Latihan Perguruan

Untuk memastikan permohonan yang layak sahaja ditawarkan mengikuti program latihan perguruan, agensi
dan institusi latihan perguruan patut mematuhi syarat dan prosedur berikut:

K1.1 Mengiklankan permohonan
K1.2 Menapis semua permohonan dan memanggil calon yang layak untuk menduduki ujian kelayakan
K1.3 Memanggil calon guru yang melepasi ujian kelayakan pada tahap yang ditetapkan untuk menghadiri temu
duga
K1.4 Melaksanakan sesi temu duga calon guru


K1.5 Membuat tawaran kepada calon guru yang berjaya
K1.6 Mendaftar calon guru berpandukan buku panduan pendaftaran
K1.7 Menandatangani perjanjian latihan perguruan

Keperluan 2: Latihan, Pentaksiran dan Penilaian

Bagi memenuhi keperluan latihan, pentaksiran dan penilaian latihan perguruan, agensi dan institusi latihan
perguruan patut menyediakan perkara berikut:

K2.1 Kurikulum latihan
K2.2 Sumber manusia yang berkelayakan, kompeten, dan mencukupi
K2.3 Program terancang bagi guru pelatih memperoleh pengetahuan dan pengalaman di sekolah
K2.4 Sumber pengajaran dan pembelajaran
K2.5 Pentaksiran dan penilaian berdasarkan peraturan peperiksaan dan penilaian yang sedang berkuatkuasa

Keperluan 3: Kolaborasi

Bagi meningkatkan lagi kualiti latihan perguruan, agensi dan institusi latihan perguruan patut mewujudkan
permuafakatan dengan pelbagai pihak seperti yang berikut:

K3.1 Sekolah
K3.2 Institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara
K3.3 Badan bukan kerajaan seperti persatuan, unit beruniform, serta sukan dan permainan

Keperluan 4: Infrastruktur dan Infostrktur

Bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, bermakna dan menyeronokkan,
agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan prasarana dan sumber yang lengkap dan terkini
seperti yang berikut:

K4.1 Menyediakan kemudahan fizikal yang sesuai dan mencukupi bagi memenuhi keperluan kurikulum dan
kokurikulum, pengurusan dan pentadbiran, serta kebajikan pelajar dan staf berdasarkan spesifikasi standard
dan kos yang sedang berkuatkuasa.

K4.2 Menyediakan rangkaian infostruktur yang bersepadu untuk menyokong aktiviti pengajaran dan
pembelajaran serta pengurusan dan pentadbiran.

Keperluan 5: Jaminan Kualiti

Mekanisme jaminan kualiti merupakan aspek penting bagi memastikan latihan perguruan yang dilaksanakan
kekal bermutu tinggi. Pemantauan, penilaian, dan pelaporan perlu dibuat terhadap perkara-perkara berikut bagi menjamin kualiti latihan perguruan:

K5.1 Pemastian jaminan kualiti terhadap Standard
K5.2 Pemastian jaminan kualiti terhadap Keperluan


K5.3 Penandaarasan latihan perguruan
K5.4 Pemastian Kod Amalan Jaminan Kualiti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)


Penutup

Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru
untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan
datang. Buku Standard Guru Malaysia, bersama-sama dengan buku Panduan Standard Guru Malaysia dan
Manual Instrumen Standard Guru Malaysia akan dapat memastikan guru yang dihasilkan mempunyai
kompetensi yang tinggi dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman
serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.

0 comments:

Post a Comment

 
Unit Hal Ehwal Murid | TNB